Annuar harap RoS lulus permohonan pindaan perlembagaan UMNO
Bernama
Julai 16, 2022 22:57 MYT
Julai 16, 2022 22:57 MYT
KOTA BHARU: Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan pindaan perlembagaan UMNO yang diluluskan parti itu pada Perhimpunan Agung Khas UMNO pada 15 Mei lepas.
Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata RoS sudah mengambil masa cukup lama iaitu dua bulan untuk membuat keputusan berhubung permohonan UMNO berkenaan.
“Sebagai orang UMNO, parti UMNO dah buat keputusan (pinda perlembagaan) …Maka kami semua ahli-ahli parti mendukung keputusan parti dan kami semua mengharapkan RoS meluluskanlah,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO itu.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata beliau faham RoS terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak permohonan itu kerana ia ada implikasi undang-undang.
“RoS dia ada kuasa. Jadi kami tunggu RoS buat keputusan dan kami mendoakan, saya secara peribadi, saya harap ROS meluluskan apa yang telah (diluluskan) oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO,” katanya.
Sehingga semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan RoS belum memberi keputusan terhadap permohonan pindaan Perlembagaan UMNO selepas notis itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.
RoS dalam kenyataan ringkas kepada Bernama pada 7 Julai lepas memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya hari ini.
UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.
-- BERNAMA