Annuar hanya mempertahankan kejujuran politik - Tun Faisal

Fauzi Suhaimi
November 23, 2020 13:19 MYT
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dilihat tidak pernah mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dilihat tidak pernah mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.
Tun Faisal berpandangan demikian susulan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menegur Annuar kerana mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO sebuah parti yang kalah sebelum ini.
Katanya pandangan itu hanya bermatlamat mempertahankan agenda penyatuan ummah, kuasa politik ummah dan memastikan UMNO tidak tersilap langkah dalam percaturan politik menjelang PRU-15.
"Saya yakin Annuar bukan bercakap bagi pihak Bersatu dan mendahului Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam soal taktikal.
"Saya percaya Annuar hanya mempertahankan kejujuran politik iaitu bercakap benar dan tidak menyembunyikan fakta sebenar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata adalah tidak wajar untuk terus menerus memainkan naratif palsu mengenai PRN Sabah yang direka-reka untuk memberi justifikasi kepada usul menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara menyemarakkan permusuhan dengan Bersatu.
"Saya berdoa supaya Ahli MKT, ahli UMNO dan cybertrooper berbayar yang memainkan naratif palsu, sentimen kebencian dan anti penyatuan Ummah ini segera insaf dan kembali kepada asas perjuangan sebenar iaitu pemerintah Islam, permuafakatan Ummah, penyatuan bangsa, 'NO Anwar dan NO DAP.'
"Jangan bersubahat dengan penyebar naratif palsu dan usaha menghalalkan sokongan terhadap Anwar," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu menambah, Annuar mungkin dilihat seolah-olah bersendirian dalam menyatakan perkara tersebut secara terbuka, namun hakikatnya sebaliknya.
"(Ini kerana) tiga kali usul menyokong Anwar dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi UMNO (dan) tiga kali juga usul ini ditolak. Apakah maksudnya," soalnya.
"Maksudnya, Annuar mungkin salah seorang yang menyuarakannya di media, tapi bukan bagi pihak Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya bagi pihak majoriti Ahli MKT dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih belum mahu menyuarakan pandangan mereka secara terbuka tapi telah menegaskan pendirian mereka dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan mereka," ujarnya.
Mohd Puad Zarkashi semalam menegur Setiausaha Agung BN itu dengan mengingatkannya supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain.
#Zahid Hamidi #Anwar Ibrahim #Islam #menteri #UMNO #Tan Sri Annuar Musa #Annuar Musa #majlis tertinggi #Putrajaya #pilihan raya #politik
;