Angkat sumpah PM ke-10: Jangan anjur sambutan, konvoi kenderaan - DAP

Afiezy Azaman
November 24, 2022 08:48 MYT
Anthony Loke menyeru semua pihak bekerjasama dan bersatu dalam membantu Perdana Menteri mengemudi negara keluar daripada kemelut dihadapi. - Fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan yang bakal ditubuhkan adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang merangkumi pelbagai gabungan parti politik.
Justeru itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyeru semua pihak bekerjasama dan bersatu dalam membantu Perdana Menteri mengemudi negara keluar daripada kemelut yang dihadapi.
"DAP mengarahkan semua peringkat pimpinan parti supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk sambutan mahupun acara konvoi kenderaan.
"Kami menyeru semua pihak bertenang dan menghormati keputusan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja," katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, Anthony Loke baru mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dari Kuching dan dalam perjalanan ke Istana Negara untuk Upacara Mengangkat Sumpah Perdana Menteri.
[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.
#PRU15 #Anwar Ibrahim #PM10 #Anthony Loke Siew Fook