Angkat sumpah PM ke-10: Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara
Hasimi Muhamad
November 24, 2022 16:45 MYT
November 24, 2022 16:45 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara untuk lstiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat memasuki pintu 1 Istana Negara sekitar 4.32 petang bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau dilihat melambai tangan ke arah pengamal media yang berada di pekarangan Istana Negara sebelum memasuki pintu 1.
Istiadat tersebut dijadual berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 5 petang ini.
Selain Anwar, turut dilihat memasuki Istana Negara ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
Pelantikan Anwar yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dicapai susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.