Angkat sumpah jemaah Menteri Sabah esok?

Abdul Hafiz Mustadi
Januari 10, 2023 20:05 MYT
Majlis angkat sumpah itu dijangka bakal menyaksikan beberapa ADUN yang memegang jawatan menteri sebelum ini akan digugurkan rentetan peristiwa 'rampasan kuasa' yang dilakukan minggu lepas. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi bakal menyaksikan detik bersejarah selepas melalui kemelut politik lebih seminggu apabila satu Majlis Angkat Sumpah jawatan ahli jemaah Menteri akan diadakan di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.
Beberapa sumber ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin, mengesahkan majlis berkenaan akan berlangsung di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu pada jam 10 pagi esok.
Majlis angkat sumpah itu dijangka bakal menyaksikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memegang jawatan menteri sebelum ini akan digugurkan rentetan peristiwa 'rampasan kuasa' yang dilakukan minggu lepas.
Antara nama yang disebut bakal digugurkan daripada kabinet iaitu Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, serta Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Datuk Jafry Ariffin.
Desas-desus mengenai majlis angkat sumpah barisan kabinet Sabah mula diperkatakan selepas satu surat yang dikeluarkan pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin melalui Setiausaha Sulit beliau, Jijah Abdul Rashid tular di media sosial yang memaklumkan akan majlis berkenaan yang akan berlangsung esok.
Astro AWANI difahamkan surat bertarikh 10 Januari 2023 itu mula tular di media sosial pada petang Selasa.
#Ahli Jemaah Menteri Sabah #angkat sumpah #Istana Seri Kinabalu #surat tular
;