'Angka usul undi tak percaya terhadap PM makin merosot' - Ahmad Maslan

Sinar Harian
Januari 28, 2024 15:15 MYT
Ahmad berpandangan sokongan ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri ketika ini adalah kerana tidak yakin dengan parti mereka. - Gambar fail/Bernama
PONTIAN: Pembangkang tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang sesi Dewan Rakyat pada 28 Februari depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, angka yang dicanang pembangkang bakal meruntuhkan Kerajaan Perpaduan semakin merosot selepas enam ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak menyokong Perdana Menteri.
Malah katanya, sepuluh lagi ahli Parlimen Bersatu dikhabarkan bakal mengumumkan sokongan kepada Anwar Ibrahim.
"Saya yakin pembangkang tidak akan buat usul undi tidak percaya kerana mereka sudah tiada kekuatan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya.
"Ini kerana pembangkang tidak cukup angka, angka yang mereka nyatakan sebelum ini hanya khayalan. Oleh itu apabila sidang Dewan Rakyat bermula nanti, pembangkang tidak akan sesekali nyatakan usul undi tidak percaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Tadika Agama Johor ( TAJ ) Daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Ahad.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pembangkang dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.
Kontroversi mengenai sokongan terhadap Anwar mula bertiup kencang susulan tulisan seorang penulis blog yang mendakwa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar.
Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berpandangan sokongan ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri ketika ini adalah kerana tidak yakin dengan parti mereka.
"Mereka tidak yakin dengan Bersatu yang ada sekarang dan mereka juga ada sebut Tan Sri Muhyiddin Yassin patut berhenti.
"Kelihatan berlaku krisis Bersatu, jika tidak masakan enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan dikhabarkan 10 lagi akan menyusul," ujarnya.
Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Bukit Gantung, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sepuluh lagi ahli Parlimen Bersatu bakal menyusul sebagaimana didedahkan Syed Abu Hussin pada sidang akhbarnya pada Jumaat membabitkan lima ahli Parlimen dari kawasan utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta tiga dari kawasan timur iaitu masing-masing Kelantan, Terengganu dan Pahang.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Ahmad Maslan #pembangkang #Anwar Ibrahim #undi tidak percaya #Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin #Bersatu
;