Angka 14 cukup bermakna bagi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob apabila mengumumkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi pilihan raya terakhir bagi tokoh pemimpin berusia 68 tahun itu.

Angka 14 cukup istimewa apabila beliau menggantikan Tan Sri Mohd Khalil Yaakob sebagai Menteri Besar Pahang ke-14 pada 25 Mei 1999.

Selepas mengharungi tujuh pilihan raya sebelum ini, Adnan akan melengkapkan perjalanan karier politiknya dengan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang menjadi kubu kuatnya sejak 1986.

"Saya memang sudah lama menjadi Menteri Besar, menjadi ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) dan pernah menyatakan hasrat untuk berundur... tapi tidak dapat (berundur) atas sebab-sebab tertentu yang tak dapat saya nyatakan.

"Tetapi kali ini, saya percaya ini adalah penggal terakhir saya bertanding. Saya akan berundur apabila tiba masanya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah Kepada Calon-calon Barisan Nasional (BN) Pahang bagi PRU14 di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan calon BN pada kali ini yang memperlihatkan 32 penyandang dan 16 muka baharu, Adnan berkata kemenangan kali ini bergantung kepada kolaborasi dan kemampuan mereka mendapatkan sokongan.

"Saya percaya asas segala-galanya adalah calon itu sendiri kerana bila dia dapat buat prestasi yang baik, insyaAllah dia akan dapat menyumbang kepada kemenangan Parlimen dan DUN.

"Ada tempat pula anggota Parlimennya cukup popular di kawasannya sehingga dapat membawa calon ADUN untuk naik sekali bersamanya," katanya.

Pada perkembangan lain, Adnan juga mengingatkan mereka yang terpilih sebagai calon untuk 'tidak terlampau gembira' kerana mereka harus sedar bahawa perkara itu datang bersama tanggungjawab yang berat.

Beliau berkata majlis pengumuman itu juga bukanlah satu majlis bersuka-ria kerana terdapat tiga nama yang terpaksa digugurkan walaupun telah menunjukkan prestasi kerja yang baik.

Adnan berkata mereka yang digugurkan adalah penyandang DUN Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, Datuk Maznah Mazlan (DUN Muadzam Shah) dan Datuk Lau Lee (DUN Damak) yang kesemuanya disifatkan sebagai rakan karibnya dalam bidang politik.

Untuk PRU14, Ahmad Shukri akan digantikan oleh Nazri Ngah, tempat Maznah pula diisi oleh Ir Razali Kassim, manakala kedudukan Lee diberikan kepada Datuk Natalie Lim Chong Ly.

Beliau juga sebak semasa memuji ketiga-tiga mereka sebagai individu berjiwa besar kerana menunjukkan keterbukaan dan tidak sedikit pun berdendam apabila menerima berita nama mereka tidak tersenarai sebagai calon.

"Malah, mereka turut datang untuk bersama kita pada hari ini sebagai tanda sokongan. Saya berharap calon baharu di Damak, Pulau Tawar dan Muadzam Shah tidak akan mengetepikan mereka.

"Saya sedih dan sayu dengan pengorbanan dan sikap mereka semua. Kami tidak akan lupa anda bertiga dan tetap akan merindui kamu semua...ingatkan kita yang berada di atas untuk bersiap kerana kita, saya juga akan pergi bila tiba masanya," katanya.

Adnan juga berharap calon pengganti tidak berasa tergugat atau mempunyai perasaan akan disabotaj kerana tiga individu itu telah memberi jaminan untuk membantu kemenangan BN pada piilihan raya kali ini.

-- BERNAMA