Angin perubahan di Dun Pelawan Sarawak?
Tan Su Lin
Mei 5, 2016 09:30 MYT
Mei 5, 2016 09:30 MYT
Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelawan di Sibu yang disifatkan sebagai 'kawasan hitam' oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini dijangka lebih 'neutral' dengan dibantu oleh faktor kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
Calon langsung BN di kawasan itu, Datuk Janet Lau berkata bagi menawan kembali kerusi itu daripada genggaman DAP, jentera BN telah melipat ganda usaha bagi merampas kerusi berkenaan.
Namun calon dari Parti Bersatu Rakyat (UPP) itu tidak menafikan berdepan tentangan hebat daripada DAP bagi merampas kawasan majoriti kaum Cina itu.
"Jentera parti kami telah bekerja keras sebelum hari penamaan calon lagi. Seperti mana anda tahu parti kami (UPP) masih lagi baru, jadi kami perlu melipat ganda usaha dalam pilihan raya negeri kali ini dan saya bersyukur mempunyai pasukan yang kuat bersama saya.
"Ramai yang menyifatkan kawasan ini (Pelawan) sebagai 'kawasan hitam' tetapi saya berharap dengan dengan kata-kata dan usaha yang telah dilakukan Adenan untuk komuniti Cina, kita dapat melihat fenomena ini membantu pasukan BN untuk menang," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program walkabout bersama dua lagi calon langsung BN, Datuk Seri Wong Soon Koh, iaitu calon Bawang Assan dan calon Dudong, Datuk Tiong Thai King di Pasar Sentral Sibu.
Di Dun Pelawan, isteri kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, mendiang Datuk Robert Lau itu tekad mahu memberi fokus kepada aspek pendidikan.
"Saya ingin meneruskan kerja dan legasi mendiang suami saya untuk peduduk di Sibu. Namun disebabkan saya bertanding di Pelawan, jadi saya akan lebih fokus kepada penduduk Pelawan dimana antara perkara paling utama dalam senarai saya adalah untuk membantu aspek pendidikan untuk kanak-kanak," katanya.
Ditanya mengenai pertembungan beliau dengan anak saudaranya, Priscilla Lau dari Parti Reformasi Negeri (STAR) yang turut merebut kerusi ditandingnya di Pelawan, kata Janet, lawan tetap lawan.
"Ini adalah pilihan raya. Perkara ini tidak dapat dielakkan dan ia tidak penting sama ada calon itu mempunyai hubungan dengan anda. Ini adalah pilihan raya," katanya.
Kerusi Dun Pelawan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Janet, Priscilla, calon STAR dan penyandang kerusi, David Wong, dari DAP.
Pada PRN Sarawak yang lalu, DAP menang di kerusi Pelawan dengan majoriti 6,391 undi.
Pada PRN kali ini, 1,138, 650 pemilih layak membuang undi Sabtu ini dengan menyaksikan perebutan 82 kerusi Dun termasuk 11 kerusi baharu.
Pada hari penamaan calon 25 April lalu, BN menang tanpa bertanding di Bukit Kota melalui penyandang Abdul Rahman Ismail dan kerusi Dun Bukit Sari oleh penyandang Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.