Anggota UMNO perlu letak kepentingan parti melebihi diri - Salleh

Bernama
Ogos 20, 2016 08:23 MYT
SALLEH: Apabila parti buat keputusan, kita perlu akur kepada keputusan parti, keputusan pemimpin. Itu adalah kunci segala-galanya kerana kita berada dalam satu organisasi. - Gambar fail
Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu anggota UMNO sentiasa meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan sendiri, bagi memastikan perjuangan UMNO terus relevan.
Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan perkara tersebut juga merupakan kunci utama kestabilan parti itu.
Beliau mengingatkan, apabila seseorang individu memilih untuk menyertai UMNO, beliau perlu bersedia untuk korbankan kepentingan diri untuk parti.
"Apabila parti buat keputusan, kita perlu akur kepada keputusan parti, keputusan pemimpin. Itu adalah kunci segala-galanya kerana kita berada dalam satu organisasi.
"Parti lebih penting daripada individu. Itu adalah pegangan kita," katanya semasa ketika berucap pada perasmian serentak persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Cheras, di sini, semalam.
Beliau berkata anggota UMNO perlu setia kepada pemimpin dan parti.
Jelasnya, walaupun adakalanya mereka mungkin tidak bersependapat dengan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, perbezaan itu seharusnya disuarakan dan diselesaikan melalui wadah yang betul.
Beliau yakin jika prinsip itu dipegang, UMNO tidak akan menpunyai masalah untuk kekal relevan dalam perjuangannya.
Dalam pada itu, Salleh juga mahu anggota UMNO di Semenanjung Malaysia menjadikan sejarah Sabah, sebelum kemasukan UMNO ke negeri, sebagai teladan dalam mempertahankan parti itu.
Katanya, sebelum kemasukan UMNO ke Sabah, politik di negeri itu sering berpecah belah, namum kemasukan UMNO bukan sahaja telah berjaya menstabilkan keadaan politik di negeri itu, ia kini juga semakin berkembang.
"Saya harap pengalaman ini menjadi teladan kepada kita di Semenanjung. Jangan ada pepecahan antara kita sehingga yang akhirnya untungnya adalah orang lain.
"Kita mesti menjadi pemandu yang menentukan masa depan negara kita sendiri dan bukannya menjadi penumpang," katanya.
Beliau juga menggesa supaya anggota UMNO sentiasa berani dalam mempertahankan parti itu daripada diperlekeh pihak lain tanpa.
"Tidak ada gunanya jika kata kita pemimpin, tapi kita pengecut. Belum kita bertempur, kita dah mengaku kalah," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.
#Salleh Said Keruak #UMNO
;