Anggota UMNO perlu jaga hubungan baik dengan parti komponen BN - Hishammuddin

Bernama
Ogos 14, 2016 15:16 MYT
HISHAMMUDDIN: Kita masih lagi merupakan pakatan yang berdaya maju dan ia mesti dilindungi.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu anggota UMNO terus menjaga hubungan baik dengan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) supaya terus utuh dan kekal relevan.
Beliau berkata perkara itu penting dalam berhadapan dengan pilihan raya akan datang sekali gus untuk memastikan calon BN dapat memenangi kerusi yang ditandingi mereka.
"Kita kena pastikan rangkaian kita (UMNO) antara parti komponen BN tidak senasib dengan parti pembangkang (perpecahan antara pakatan pembangkang)... Kita masih lagi merupakan pakatan yang berdaya maju dan ia mesti dilindungi. Kita mesti cari calon terbaik dalam pakatan ini untuk berdepan pilihan raya nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Segambut 2016 di sini, hari ini.
Selain itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan agar anggota UMNO tidak leka dan menganggap kelemahan parti pembangkang yang berpecah belah pada hari ini sebagai kekuatan parti, sebaliknya UMNO perlu terus diperkukuhkan sehingga ke akar umbi.
"Pastikan kita (lebih) kuat dengan ruang yang diberikan oleh mereka (parti pembangkang) ini...mereka juga kecoh kerana wujudnya parti-parti baharu, parti ditubuhkan bersandar kepada mereka yang mungkin kecewa, marah atau ada pertimbangan lain," katanya lagi.
Terdahulu ketika berucap merasmikan persidangan, beliau berkata UMNO Wilayah Persekutuan perlu memikirkan kaedah terbaik menjadi pilihan anak muda di kawasan tersebut.
"Sekurang-kurangnya pengisian yang disediakan UMNO untuk anak-anak muda di bandar ini boleh dirasai dan dihargai oleh mereka. Kita kena gembleng usaha memantapkan UMNO dan menarik anak-anak muda kerana segalanya bermula dari sini," katanya lagi.
#Barisan Nasional #berita politik #Hishammuddin Hussein #komponen BN #PRU14 #UMNO
;