Anggota polis antara yang membuang undi awal pada PRK Balakong
Arfa Yunus
September 4, 2018 08:45 MYT
September 4, 2018 08:45 MYT
Seramai 28 anggota polis akan membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong hari ini yang dibuka sekitar pukul 8 pagi tadi.
Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, proses membuang undi yang berlangsung jam 8 pagi tadi akan berakhir pada 12 tengahari.
Menurutnya, terdapat 31 pengundi berdaftar untuk Dun Balakong namun tiga anggota yang tidak hadir kerana seorang telah bersara, seorang digantung kerja dan seorang lagi tidak hadir kerja.
Proses mengundi yang diadakan di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan ini disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding.
Pengundi terakhir, iaitu pengundi ke-28 tiba di pusat pengundian pada jam 9:30 pagi, namun pusat pengundian tidak akan ditutup awal.
Kerusi Dun Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan dari DAP, Wong Siew Ki yang merupakan ahli Majlis MPSJ dan calon MCA, ahli perniagaan Tan Chee Teong.
Hari pengundian akan diadakan pada 8 September nanti.
Menurut SPR, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi hari ini tetapi akan disimpan di lokap-lokap balai polis.
Pengiraan kertas undi awal hanya akan dijalankan pada Sabtu secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR.
Kerusi Dun Balakong kosong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee yang meninggal dunia pada 20 Julai lalu dalam kemalangan jalan raya.
Pada PRU14, Eddie mengalahkan calon BN dan calon PAS dengan majoriti 35,538 undi.
#BALAKONG
#pengundian awal
#pilihan raya kecil
#PRK
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tan Chee Teong
#wong siew ki