Anggota PKR perlu perkukuh parti bagi hadapi cabaran besar - Saifuddin

Bernama
Mac 18, 2023 12:45 MYT
Saifuddin Nasution berkata PKR sebagai parti yang memimpin Kerajaan Perpaduan, juga perlu insaf dengan amanah besar yang diberikan Allah SWT dalam menerajui negara. -Bernama
SHAH ALAM: Anggota PKR diseru terus memperkukuhkan parti bagi menghadapi cabaran yang lebih besar termasuk berkaitan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PKR sebagai parti yang memimpin Kerajaan Perpaduan, juga perlu insaf dengan amanah besar yang diberikan Allah SWT dalam menerajui negara.
"Pesan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kita semua), jangan 'terkilau' dengan pangkat, jawatan malah harta. Amanah ini mesti dijaga. Di depan kita adalah tanggungjawab yang besar kepada rakyat dan negara.
"Marilah kita terus perkukuhkan PKR, garap segala kekuatan dan kelebihan, bulatkan tekad perjuangan, terus melangkah sederap dengan suatu ketumbukan yang padu untuk mara kehadapan sebagai ejen perubahan yang menyumbang kepada sebuah Malaysia MADANI yang kita impikan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini hari ini.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ujian dan cabaran parti tidak akan pernah berakhir, namun dengan segala yang telah lalui, PKR pastinya memiliki kematangan dalam meniti ranjau perjuangan.
"PKR cukup beruntung, tatkala terakam dalam sejarah parti pelbagai individu datang dan pergi, PKR terus punyai pendokong kekal setia yang menggerakkan arus reformasi ini sehingga kita berjaya masuk ke segenap bandar dan desa, kampung dan pendalaman serta mendapat sokongan dari pelbagai kaum, etnik, peringkat umur mahu pun aktivis," katanya.
Kongres berkenaan turut dihadiri Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
-- BERNAMA
#Saifuddin Nasution #Malaysia Madani #Kongres Nasional Khas PKR 2023 #Kerajaan Perpaduan
;