Anggota Parlimen Kerajaan bukan menteri akan dilantik pengerusi GLC - Takiyuddin
Muhafandi Muhamad
April 13, 2020 10:43 MYT
April 13, 2020 10:43 MYT
Anggota Parlimen Kerajaan yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri akan diberi tanggungjawab sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen, Datuk Takiyuddin Hassan berkata ia kerana mereka layak untuk dipertimbangkan ke jawatan itu.
"Ahli Parlimen Pas ada 18, lapan sudah menjadi menteri dan timbalan, seorang duta khas, tinggal sembilan.
"Alhamdulillah saya difahamkan semua MP Kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC kerana mereka layak," kata Takiyuddin.
Menurutnya, cadangan dikemukakan oleh kementerian yang berkaitan dengan GLC berkenaan manakala pelantikan hanya dibuat selepas mendapat persetujuan perdana menteri.
"Tetapi untuk penyelarasan semua cadangan lantikan ini mesti mendapat persetujuan perdana menteri," kata Takiyuddin.
Tambahnya, ada pelantikan pengerusi GLC yang perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu atau KADA.
Beberapa Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan Pas, antaranya Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Pas Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari telah dilantik sebagai pengerusi GLC.
#Barisan Nasional
#GLC
#KADA
#Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu
#PAS
#pengerusi syarikat
#syarikat berkaitan kerajaan
#Takiyuddin Hassan