Anggota akar umbi UMNO perlu berani suarakan pendapat - Khairy
Bernama
Ogos 15, 2015 10:33 MYT
Ogos 15, 2015 10:33 MYT
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata anggota parti di peringkat akar umbi perlu berani menyuarakan apa jua pendapat kepada pemimpin untuk memastikan UMNO terus mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata langkah itu penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO terutama di saat senario politik negara dan keadaan parti yang begitu mencabar.
"Jangan takut untuk menggunakan pentas mesyuarat perwakilan untuk menyatakan apa sahaja. Bukan untuk menyalahkan siapa-siapa, bukan kerana tidak sokong institusi parti tetapi kerana kita perlu bercakap benar.
"Kita perlu sampaikan suara rakyat terhadap parti dan juga kepada pemimpin kita. Kalau kita bisu dan tutup mulut, kalau kita buat seperti tidak ada masalah di luar sana, maka kita berkhayal di dalam dunia kita sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di sini malam tadi. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata anggota parti perlu peka dengan kehendak rakyat yang mahu UMNO memahami kebimbangan dan kesusahan yang terpaksa mereka hadapi bagi meningkatkan lagi keyakinan mereka terhadap parti.
"UMNO perlu menang dalam PRU kerana sokongan padu rakyat dan kekuatan parti, bukan hanya sekadar menang di atas kelemahan pembangkang ... bukan hanya kerana kelemahan dan keburukan musuh, tetapi kerana kekuatan parti kita sendiri.
"Kalau kita bergantung harap kepada kelemahan musuh, maka ia tidaklah kemenangan sebenar. Kemenangan sebenar datang apabila parti kita kuat dan rakyat melihat kita lebih kuat," katanya. Khairy berkata kewujudan media sosial turut memberikan cabaran kepada anggota parti untuk lebih peka.
"Zaman ini lebih mencabar bagi UMNO kerana masyarakat khususnya orang muda, menerima maklumat daripada pelbagai sudut termasuk Facebook dan WhatsApp yang tidak dapat dikawal," katanya.