Andai terus bersatu, PN miliki kekuatan 'luar biasa' untuk tawan PRU15 - Tajuddin

Ridauddin Daud
Jun 25, 2020 13:03 MYT
Tajuddin secara berseloroh turut mengatakan adalah bagus apabila wujudnya persengketaan Dr Mahathir-Anwar seperti yang berlaku sekarang. - Foto Astro AWANI
Sekiranya UMNO, Pas dan Bersatu kekal setia bersama Perikatan Nasional (PN) dan tidak bergaduh antara satu sama lain, PN mempunyai ‘kekuatan luar biasa’ untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, persengketaan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurangkan ‘ancaman’ kepada gabungan itu.
Tajuddin secara berseloroh turut mengatakan adalah bagus apabila wujudnya persengketaan Dr Mahathir-Anwar seperti yang berlaku sekarang.
“Kalau Bersatu, Pas dan UMNO setia dalam PN sebagai satu gabungan, tak berlawan antara satu sama lain, kita ada kekuatan yang 'luar biasa' untuk menang pada pilihan raya akan datang.
“Tapi kalau Anwar dan Mahathir nak menyumbang lagi, terima kasih banyaklah. Gaduh sajalah, tidak mengapa,” katanya dalam sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Rapid Rail di Depot Subang pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berkaitan persengketaan antara Anwar-Dr Mahathir yang dikatakan memberi keuntungan kepada PN.
Baru-baru ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Sebaliknya, PKR membuat keputusan untuk kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir kemudian memutuskan hanya berkerjasama dengan Amanah dan DAP dan tidak lagi menganggotai Pakatan Harapan (PH) Plus, lapor Sin Chew Daily.
Keputusan itu dibuat selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
#Anwar Ibrahim #DAP #Mahathir Mohamad #majlis tertinggi #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #PAS #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #PKR #PLUS #Tajuddin Abdul Rahman #UMNO
;