Anak Najib, Nooryana Najwa bakal bertanding Exco Puteri UMNO - Puad Zarkashi
Sinar Harian
Februari 13, 2023 13:43 MYT
Februari 13, 2023 13:43 MYT
JOHOR BAHRU: Anak Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa bakal bertanding jawatan Exco Puteri UMNO pada pemilihan parti kali ini.
Menerusi muat naik di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan perkara berkenaan.
"Hari ini, Yana Najib (Nooryana Najwa) datang berkunjung ke pejabat saya, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit di Taman Rengit.
"Beliau datang dengan Dr Masliha Harun, calon Ketua Puteri UMNO. Yana pula akan bertanding EXCO Puteri UMNO. Selamat maju jaya," tulisnya.
Nooryana yang juga ahli UMNO Lembah Pantai, dilaporkan aktif membantu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, antaranya di Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Johor.
Pada 29 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Mohd Nazifuddin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Langkawi berkata, beliau ingin membantu sayap itu bagi menarik golongan muda agar dapat bersama-sama memperkukuhkan perjuangan parti. -- Sinar Harian