Anak muda tidak lagi sokong UMNO jika jawatan presiden, timbalan tidak dipertanding - Naib Ketua Pemuda Perlis
Astro Awani
Disember 29, 2022 15:24 MYT
Disember 29, 2022 15:24 MYT
KUALA LUMPUR : Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diseru membawakan usul yang terbaik termasuk membenarkan semua jawatan dipertandingkan bagi menyuburkan proses demokrasi dalaman dan proses peremajaan yang berterusan, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed.
Bahkan, tegas beliau, jika terdapat usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan sekali gus diyakini ramai dalam kalangan anak muda sama ada di dalam atau luar UMNO serta anak muda atas pagar akan meninggalkan parti itu.
Sekiranya usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan diterima, ia kelak, kata, Noor Hairi, hanya akan menyebabkan UMNO kehilangan keyakinan, terutamanya keyakinan dari anak muda selama-lamanya kerana tindakan ini jelas menampakkan UMNO adalah milik Presiden atau MKT dan bukan lagi milik orang Melayu.
"Ini akan memperkuatkan parti-parti baharu yang dikatakan memperjuangkan orang-orang Melayu terutamanya Melayu di luar bandar, sekali mereka beralih kepada parti lain… jangan harap mereka akan kembali (kepada UMNO," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, golongan muda khususnya yang berada dalam UMNO sedang memerhatikan tindak-tanduk dan langkah-langkah yang diambil parti itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal menentukan hala tuju serta survival UMNO.
Ia terutama dalam menghadapi PRU akan datang, selain enam pilihan raya negeri dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai seorang demokrat, beliau menyerahkan kepada perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO nanti bagi menentukan sama ada jawatan nombor satu dan dua dalam parti itu boleh ditandingi atau tidak.
Bagaimanapun, sebelum itu, perkara sama akan dibawa ke Biro Politik dan MKT sebelum dibawa ke perhimpunan agung yang akan ditentutkan perwakilan.
Mengulas lanjut, Noor Hairi berkata, ini bukan soal Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan atau mana-mana pemimpin, selepas UMNO dan BN kini hanya memiliki 30 kerusi Parlimen dan dijangka hilang lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam enam pilihan raya negeri akan datang.
Kata beliau, anak muda kini merupakan generasi yang dapat berfikir dengan waras dan mereka dapat menilai ulasan Presiden yang menyatakan akan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan usul berkenaan akan diluluskan atau tidak.
"Sudah pasti akan ada 'pementasan', segalanya akan atur oleh si penguasa, seperti perhimpunan agung sebelum ini, antara tanda-tandanya ialah, perwakilan kali ini secara tidak semena-mena ketua-ketua penerangan bahagian dan sayap-sayap menjadi perwakilan secara automatik ke perhimpunan agung.
"Adakah ini satu langkah membuat 'pementasan' yang akan dipentaskan di perhimpunan agung kali ini bagi menambah sokongan?" soal beliau.