Anak akan duduki peperiksaan sebelum beri keterangan kepada polis - Azmin Ali

Bernama
November 8, 2015 23:13 MYT
Azmin berkata anak bongsunya berusia 15 tahun itu akan menghadapi peperiksaan mulai Isnin sehingga Jumaat. - Gambar Fail
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata anak lelakinya akan menduduki semua kertas peperiksaan akhirnya terlebih dahulu sebelum memberi sebarang keterangan kepada pihak polis berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bersih.
Beliau berkata anak bongsunya berusia 15 tahun itu akan menghadapi peperiksaan mulai Isnin sehingga Jumaat.
"Peguam saya memberitahu polis bahawa anak saya akan menduduki peperiksaan akhir itu. Saya akan pastikan anak saya selesai menjalani peperiksaan itu terlebih dahulu sebelum memberi sebarang keterangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Deepavali, di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya beliau sedang menunggu nasihat peguamnya untuk tindakan selanjutnya.
Mohamed Azmin menerusi laman sosial Twitternya hari ini memuat naik status menyatakan anak lelakinya itu dipanggil polis bagi direkodkan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pukul 10 pagi Isnin, kerana terlibat di dalam perhimpunan berkenaan.
#Bersih #Mohamed Azmin Ali #PKR #PR