AMK nafi wujud masalah dalaman dengan Pemuda UMNO

Bernama
Julai 14, 2024 21:53 MYT
Ketua AMK Adam Adli Abd Halim berkata ia adalah perkara biasa apabila berlaku perbezaan pandangan dalam politik. - Gambar fail
KUANTAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan dakwaan wujudnya masalah dalaman antara sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan pemuda UMNO.
Ketua AMK Adam Adli Abd Halim berkata ia adalah perkara biasa apabila berlaku perbezaan pandangan dalam politik.
"Tidak ada masalah... itu perkara biasa," katanya kepada media selepas menghadiri program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dewan Datuk Sri Abdul Manan Ismail di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan AMK dan Pemuda UMNO berbalas kenyataan selepas Pilhan Raya Kecil Sungai Bakap pada 6 Jun lepas.
Menyentuh mengenai Kembara JOM, Adam Adli berkata kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan adalah antara isu yang banyak dibangkitkan oleh golongan belia sepanjang program itu berlangsung di sembilan negeri termasuk Pahang.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata segala pandangan serta maklum balas golongan belia sepanjang program tersebut akan diambil serius oleh pihak kementerian dan dikumpulkan untuk digunakan dalam merangka polisi pada masa hadapan.
"Di pihak kementerian, platform Kembara JOM ini adalah antara jalan untuk kita mengumpul input secara langsung... kita kumpul pandangan secara dialog dan kita juga ambil survei menerusi QR untuk dijadikan rumusan terutama belanjawan akan datang," katanya.
Adam Adli berkata program itu adalah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia serta Jabatan Belia dan Sukan Negara bagi membolehkan pemegang taruh memberikan maklum balas serta pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi kementerian.
Beliau berkata maklum balas dan pandangan yang diterima itu akan diguna untuk memuktamad pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu kepada pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
-- BERNAMA
#Angkatan Muda Keadilan #Pemuda UMNO #pandangan politik #Adam Adli Abd Halim
;