AMK jadi penggerak utama PKR menjelang PRU15 - Adam Adli

Rahimah Abdullah
Julai 17, 2022 12:46 MYT
Adam Adli berjanji untuk memastikan angkatan itu menjadi penggerak utama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu, Adam Adli Abdul Halim berjanji untuk memastikan angkatan itu menjadi penggerak utama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Ia termasuk memastikan usaha menarik sokongan pengundi anak muda yang mahukan perubahan untuk negara.
"Saya seru rakan-rakan terutama AMK, ini tanggungjawab kita dan cabaran kita, tiada orang lain yang boleh diharapkan untuk selamatkan kita kerana yang boleh selamatkan kita ialah kita.
"Kita tak datang di Kongres ini bukan nak 'menang sorak, kampung tergadai', tetapi kita nak dapatkan semangat menang PRU.
"Saya tidak mengikat kepada banyak janji, cukuplah kalau saya janjikan bahawa AMK akan jadi penggerak utama kepada PKR menjelang PRU nanti dan kita akan ambil sikap baik dengan jaga kebersamaan, kekuatan dan kesepakatan bersama," katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Ketua AMK di sini pada Ahad.
BACA: Maszlee, Akmal Nasir, Hans Isaac dipilih sebagai MPP PKR
BACA: Wahai 'watak' batu api dalam PKR, ini amaran Saifuddin buat kalian...
Katanya lagi, peningkatan anak muda yang kali pertama mengundi menjadi cabaran dan tanggungjawab kepada AMK untuk memastikan sokongan mereka kepada parti.
"Tahun ini sangat kritikal. Peningkatan besar dalam demografi pengundi muda 18-25 tahun. kalau kita tengok dapatan sebelum ini semasa PRN Johor (penglibatan mereka) adalah rendah. Namun sekarang orang muda nak ubah.
"Dapatan sebelum ini mendedahkan bahawa lebih 80 peratus anak muda kali pertama mengundi nak turun mengundi dan lakukan sesuatu. Ini cabaran kita. Saya sedar tanggungjawab ini terletak di bahu kita," tegasnya.
BACA: PKR ada terima notis dari RoS berhubung keputusan pemilihan parti - Saifuddin
BACA : Senarai hitam calon tak pulang deposit, ahli jatuhkan parti di media sosial - Fuziah
#kongres nasional PKR #Adam Adli #AMK #anak muda
;