AMK gesa pemimpin Pakatan Rakyat segera kembali ke meja rundingan
Astro Awani
Jun 20, 2015 20:19 MYT
Jun 20, 2015 20:19 MYT
Semua pemimpin Pakatan Rakyat digesa supaya segera kembali semula ke meja rundingan dan menghentikan perbalahan antara satu sama lain.
Gesaan itu dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerusi timbalan ketuanya, Dr Afif Bahardin berpendapat ini bukan masa untuk menuduh dan menyalahkan mana-mana pihak terutamanya melalui media massa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya itu berpendapat DAP tiada hak mengumumkan Pakatan Rakyat kini tidak wujud dan menganggap sebarang langkah tergesa-gesa yang diambil akhirnya akan membunuh pakatan itu.
"Jika kita memilih untuk menghancurkan PR, bermakna kita memilih untuk membunuh aspirasi dan harapan seluruh rakyat Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Dr Afif yang juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) kerajaan Pulau Pinang berkata gabungan itu masih wujud selagi diterima rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Jelas beliau, Pakatan Rakyat bukan hak individu dan menggesa pemimpin tertinggi bersikap matang dan sedar akan harapan rakyat yang semakin terbeban dengan krisis ekonomi dan kepincangan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).
"Polisi dan dasar masih sama, yang boleh isytihar PR mati ialah rakyat dalam pilihan raya akan datang. Kalau rakyat tidak pilih kita dalam pilihan raya akan datang, maknanya kita mati," katanya.
Dr Afif turut menolak cadangan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua supaya ditubuhkan kerajaan gabungan bagi mengelakkan pembubaran DUN Selangor.
"Cadangan itu saya tidak nampak. Kalau hendak bergabung dengan Umno itu mustahil. Di Selangor, agenda PR sebagai asas pentadbiran perlu diteruskan," katanya.
Dr Afif enggan mengulas lanjut cadangan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang ingin menyertai Pakatan Rakyat dan menyifatkan hubungan dalam gabungan pembangkang itu dan badan bukan kerajaan (NGO) itu setakat ini baik.
Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang mengumumkan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud ekoran muktamar tahunan PAS awal bulan ini yang menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama memutuskan hubungan dengan DAP.
Ekoran pengumuman Guan Eng itu, PKR menerusi kenyataan presidennya,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengeluarkan kenyataan yang kesal dengan tindakan DAP dan PAS yang dianggapnya tergesa-gesa.
Namun, semalam Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Pakatan Rakyat masih belum berkubur dan DAP tidak berhak membuat pengisytiharan sedemikian.