Amirudin tidak tahu pembatalan tempahan dewan program Himpunan Anak Kedah
Bernama
Mei 3, 2024 19:15 MYT
Mei 3, 2024 19:15 MYT
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau tidak mengetahui atau terlibat dengan apa jua keputusan berkaitan pembatalan tempahan dewan untuk Majlis Himpunan Anak Kedah di negeri itu seperti didakwa rakan sejawatnya dari Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Amirudin berkata semasa urusan berkenaan berlaku beliau berada di Jerman bagi lawatan kerja kerajaan negeri.
"Pihak terbabit (pemilik dewan) mungkin mengambil keputusan (memulangkan deposit). Saya kena rujuk balik sebab saya tidak tanya kenapa. Sebab saya tidak mendapat 'contact' (panggilan) daripada sesiapa. Tahu-tahu sudah ditempah dan tahu-tahu dibatal.
"Kebetulan masa itu, saya tiada di sini (Selangor), saya ada di Jerman (urusan lawatan kerja)," katanya pada sidang media di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi yang mendakwa Majlis Himpunan Anak Kedah yang sepatutnya diadakan di sebuah dewan milik anak syarikat kerajaan Selangor itu pada 1 Mei, ditukar ke lokasi lain selepas wajahnya terpampang di poster.
-- BERNAMA