Amirudin seru jentera PH lupakan perbedaan dengan BN demi kemenangan PRN Selangor

Bernama
Jun 25, 2023 12:20 MYT
Amirudin (dua, kiri) ketika gimik Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meminta semua jentera dan ahli parti pakatan itu untuk melupakan perbedaan yang berlaku sebelum ini di antara mereka dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Piliharan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata ini bagi memastikan kerjasama di antara PH dan BN pada PRN kali ini dapat menyumbang kepada sasaran kemenangan majoriti dua pertiga gabungan itu di negeri berkenaan.
"Insya-Allah tidak lama lagi rakan-rakan kita dari BN akan turut bersama-sama (untuk kempen pilihan raya)," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Selangor, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi.
"Kita bolehlah lupakan sebentar beberapa perbedaan yang lalu kerana yang penting sekarang untuk kita bersatu padu dan berpakat untuk sama-sama selamatkan dan pulihkan negara yang dirosakkan oleh Langkah Sheraton dan Perikatan Nasional (PN)," katanya.
Beliau juga menyeru jentera pakatan itu untuk bersama-sama rakyat Selangor mempertahankan negeri itu pada PRN nanti daripada pihak yang sentiasa ingin memecahbelahkan dan membangkit api perkauman demi keuntungan politik mereka.
"Sebab itu kita mahu agar Selangor ini kita pertahankan bukan untuk saya dan wakil-wakil rakyat yang akan dipilih tetapi kita teruskan untuk kecemerlangan dan kemakmuran negeri," katanya.
BACA: Pelaburan di Selangor lebih baik selepas Azmin bukan lagi MB - Amirudin
DUN Selangor secara rasminya dibubarkan pada Jumaat bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.
Selain Selangor, turut bakal mengadakan PRN tidak lagi adalah Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #PRN Selangor #Barisan Nasional #Pakatan Harapan
;