Amirudin sambut baik barisan kabinet Kerajaan Perpaduan
Bernama
Disember 9, 2022 07:30 MYT
Disember 9, 2022 07:30 MYT
SHAH ALAM: Pengerusi Harapan Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyambut baik senarai anggota Kabinet yang dipilih dalam Kerajaan Perpaduan.
Amirudin berkata walaupun hanya terdapat dua menteri dan seorang timbalan menteri daripada Harapan Selangor, beliau percaya dengan percaturan serta kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membuat keputusan.
"Perlu diingat kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan daripada pelbagai kumpulan yang terhasil akibat ketidakwujudan kumpulan tunggal yang boleh membentuk kerajaan.
"Jadi, kompromi untuk menetapkan calon menteri dan timbalan menteri itu semua harus diambil kira," katanya ketika mengulas jumlah menteri dan timbalan menteri dari Selangor yang dipilih menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata sedemikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Worldwide Holdings Berhad dan Dynac Sdn Bhd di sebuah hotel di sini hari ini.
Menteri Besar Selangor itu berkata walaupun hanya dua Ahli Parlimen dari negeri itu dipilih menjadi menteri namun mereka diamanah memimpin kementerian yang penting kepada negara.
"Mat Sabu (Mohamad Sabu) berada di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, aspek yang sangat asas serta penting dan (Mohd) Rafizi (Ramli) bagi Kementerian Ekonomi, kementerian yang meliputi semua benda di dalam negara ini.
"Jadi, ia bukan tentang jumlah sebaliknya kualiti. Saya rasa dua kementerian itu cukup kanan," katanya.
Beliau berkata beberapa menteri dan timbalan menteri lain yang dipilih juga sangat aktif di Selangor.
"Saraswathy Kandasamy (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) bertanding di Tapah, Perak tetapi sebenarnya beliau banyak bergerak di Selangor, Adam Ali Abdul Halim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) juga, Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) juga pangkalannya di negeri ini walaupun menjadi Ahli Parlimen di Pulau Pinang.
-- BERNAMA