Amirudin akui lebih selesa kekal terajui Selangor
Bernama
Ogos 13, 2024 17:45 MYT
Ogos 13, 2024 17:45 MYT
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau lebih selesa untuk terus kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri di sebalik khabar angin akan berlaku rombakan Kabinet di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata hasrat itu antara lain adalah untuk memastikan kelangsungan rancangan pembangunan negeri khususnya membabitkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang sedang berjalan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata setakat ini beliau tidak mendengar dirinya akan dilantik sebagai menteri Kabinet, malah katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menafikan berhubung rombakan tersebut.
"Setakat ini tidak ada angin bertiup ke telinga yang (nama) saya ditarik keluar (sebagai menteri Kabinet).
"Namun sebagai ahli PKR yang patuh, saya akan mengikut dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sekiranya dilantik menjadi menteri Kabinet di masa hadapan," katanya ketika mengulas khabar angin yang mendakwa seorang Menteri Besar dari PKR akan dilantik sebagai menteri Kabinet.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan menafikan kerajaan akan melakukan rombakan Jemaah Menteri tidak lama lagi.
Berhubung dakwaan akan berlaku rombakan dalam barisan exco kerajaan negeri melibatkan dua orang exco akan digugurkan, Amirudin berkata kemungkinan untuk berbuat demikian tetap ada mengikut kesesuaian keadaan antaranya disebabkan sakit, kematian dan faktor lain.
"Tetapi buat masa ini saya mempunyai pasukan yang mantap di Selangor. Kami gembira bekerja bersama-sama dan diakui perlu ada peningkatan prestasi untuk kita memantapkan perkhidmatan selepas setahun (pentadbiran)," katanya.
Amirudin berkata dakwaan berkenaan juga merupakan peringatan yang baik untuk semua exco termasuk dirinya untuk bekerja keras bagi melaksanakan apa yang dijanjikan untuk mencapai sasaran ditetapkan.
"Macam minggu lepas pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), saya ada bagi pandangan termasuk kepada diri saya dan semua exco secara umum bahawa mereka harus pertingkatkan prestasi dalam dewan (Persidangan Dewan Undangan Negeri) dan apa yang hendak dicapai," katanya.
-- BERNAMA