Aminuddin setuju PRN serentak
Bernama
Januari 26, 2023 19:16 MYT
Januari 26, 2023 19:16 MYT
SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri perlu diadakan serentak supaya dapat mengurangkan kos perbelanjaan pilihan raya serta memberi impak lebih besar sama seperti pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak terlibat perlu memastikan pilihan raya nanti berjalan dengan teratur agar rakyat dapat turun mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing secara beramai-ramai dalam meraikan demokrasi.
"Seperti PRU15 yang lepas, kita juga harapkan PRN kali ini memberikan impak yang besar kepada semua rakyat, mungkin kita boleh mohon cuti peristiwa bagi memastikan ramai rakyat keluar mengundi.
"PRN perlu dijalankan serentak...ia memberikan kebaikan kepada semua negeri, tiada salahnya dijalankan bersama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Mesra SambutanTahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu akan mengadakan pertemuan secara tidak rasmi dengan tiga pemimpin negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bagi membincangkan dan menetapkan tarikh PRN pada minggu depan.
Enam negeri akan menghadapi PRN tahun ini iatu tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) -- Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan tiga negeri ditadbir Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Sementara itu di George Town, Pulau Pinang, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya masih belum menerima jemputan rasmi daripada pemimpin Pas bagi membincangkan tarikh PRN itu.
"Saya terkejut apabila dikatakan akan ada satu perbincangan tidak rasmi, saya belum terima (jemputan daripada Pas).
"Memang kita pernah bincang untuk menyelaraskan tarikh-tarikh PRN di negeri PH dan Pas, kita juga memang suarakan sebelum ini sebaik-baiknya enam negeri laksanakan PRN pada tarikh dan tempoh yang sama," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kadun Padang Kota, di sini, hari ini.
Chow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, tarikh terdekat yang kesemua pihak berkenaan akan berjumpa adalah pada seminggu sebelum pembentangan semula Bajet 2023 pada 24 Feb ini yang mana mesyuarat Majlis Raja-Raja akan diadakan.
"Jadi di situlah akan berlangsung mesyuarat secara langsung dan tidak langsung antara Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar pada minggu itu," katanya. - BERNAMA