SEREMBAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan semua calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR kali ini berkaliber serta mempunyai kekuatan dan pengaruh masing-masing.

Aminuddin antara calon Naib Presiden PKR turut berterima kasih kepada calon Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang telah menyenaraikan beliau dalam pasukannya pada pemilihan kali ini.

"Saya lihat mereka semua berkaliber, ada kekuatan dan pengaruh masing-masing. Ini menunjukkan bahawa dalam PKR itu ramai pemimpin.

"Terima kasih masukkan saya dalam pasukan tersebut. Semua pasukan saya masuk, tetapi apabila Rafizi letakkan saya dalam pasukan tersebut, saya ucapkan terima kasih. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan, iaitu pasukan Keadilan," kata Menteri Besar Negeri Sembilan di sini pada Rabu.

Media melaporkan Rafizi menyenaraikan pasukannya bagi calon Naib Presiden PKR dengan menamakan Aminuddin, Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim); Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa) dan G Manivannan ( bekas Ahli Parlimen Kapar) bagi pemilihan kali ini.

-- BERNAMA