Ambil tindakan jika benar Moorthy cemar nama baik negara - Khairuddin

Astro Awani
November 19, 2018 12:37 MYT
KHAIRUDDIN: Bagaimana seorang Menteri Di Jabatan Perdana Menteri boleh mengaibkan nama Malaysia ke seluruh dunia dengan membuat kenyataan palsu yang berupa hasutan itu? - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Perdana Menteri serta Kabinet harus mengambil tindakan tegas ke atas P Waytha Moorthy sekiranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu secara sahih membuat kenyataan yang mencemarkan nama baik negara.
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, tindakan itu juga seolah-olah sengaja mengkhianati negara.
"Bagaimana seorang Menteri Di Jabatan Perdana Menteri boleh mengaibkan nama Malaysia ke seluruh dunia dengan membuat kenyataan palsu yang berupa hasutan itu?
"Moorthy secara sengaja telah membohongi dan membuat kenyataan palsu untuk mendorongkan negara luar agar membenci Malaysia.
"Ini adalah pengkhianatan yang cukup dahsyat kepada bangsa dan negara. Moorthy harus ditangkap serta didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Khairuddin mengulas video lama Moorthy yang tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.
Selain itu, antara kandungan kenyataan Moorthy adalah mendakwa bahawa 'Malaysia hanya indah khabar daripada rupa'.
Katanya, ramai pihak luar menganggap Malaysia adalah negara Islam yang moden dan sederhana, tetapi realitinya adalah sebaliknya.
Dalam pada itu Khairuddin yang juga penyelaras Parlimen Jasin menegaskan, Moorthy benar-benar bersikap perkauman tanpa asas yang boleh membinasakan keharmonian seluruh bangsa dan negara.
"Negara luar berkemungkinan percaya pada kenyataan fitnah itu kerana Moorthy adalah sebahagian dari anggota Kabinet. Dia bukan calang-calang orang.
"Saya amat hairan dan tidak faham apa motifnya berbuat demikian. Kini, dia telah dilantik mewakili Hindraf untuk menjadi sebahagian dari anggota kerajaan. Apa lagi yang dia mahukan? Apa lagi yang tidak betul?
"Kerajaan tidak pernah menzalimi bangsa lain di negara ini. Keseluruhan rakyat diajar untuk menghormati hak bangsa-bangsa lain," jelasnya.
Tanbahnya, amalan agama, hak sebagai rakyat, demokrasian pendidikan, peluang pekerjaan, peluang perniagaan, amalan berpolitik dan sebagainya dibenarkan secara terbuka di negara ini.
"Sebab itulah di bidang ekonomi majoriti daripada jutawan-jutawan adalah terdiri dari bangsa asing sekiranya hendak dibandingkan dengan orang-orang Melayu.
"Generasi muda dari bangsa lain juga cemerlang di bidang pendidikan mahupun kerjaya di negara ini," katanya.
Jelas Khairuddin, tidak harus ada sebarang kompromi dengan Moorthy seandainya suara dan kenyataan itu adalah sahih daripadanya.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini turut menempelak Moorthy sebagai penipu besar berhubung hak asasi di negara ini.
Malah, Mohd Asri juga melabelkan Moorthy sebagai pengkhianat kerana memburukkan nama Malaysia di luar negara.
Terbaharu, Moorthy berkata penyebaran video yang tular berhubung kenyataan kontroversinya mengenai berlakunya pencabulan hak asasi di Malaysia merupakan sedutan video 10 tahun lepas.
Katanya, beliau telah diwawancara oleh sebuah stesen TV Belanda selepas 'ledakan' perhimpunan Hindraf pada November 2007.
#hasutan #Khairuddin Abu Hassan #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #P Waytha Moorthy #Pakatan Harapan
;