Ambil langkah awal persediaan PRN Sarawak - Wan Azizah

Wan Syamsul Amly, Firdaus Azil, Diyana Ibrahim
November 18, 2018 15:34 MYT
WAN DR AZIZAH berkata, Perkara itu termasuk mengetahui siapa pengarah yang akan dilantik untuk mengepalai PRN berkenaan. - Astro AWANI/Shahir Omar
Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) perlu mengambil langkah-langkah awal untuk menjalankan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dalam masa satu atau dua tahun lagi.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia termasuk mengetahui siapa pengarah yang akan dilantik untuk mengepalai PRN berkenaan.
"Saya tidak tahu. Hanya Saudara Presiden yang baharu sahaja yang tahu siapakah tokoh yang sesuai untuk memegang portfolio Pengarah JPRP bagi sesi baru ini," katanya semasa ucapan penggulungan Presiden PKR pada Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini, hari ini.
Dalam pada itu Dr Wan Azizah meminta semua anggota berlapang dada dan menerima keputusan pengundian pada pemilihan parti.
Akuinya, tiada kaedah dan sistem yang sempurna termasuk pemilihan parti yang baru diadakan.
"Kita juga harus hargai kerja keras Jabatan Pemilihan Pusat (JPP) dan sukarelawan yang terlibat dalam mengendalikan pemilihan parti selama sembilan minggu.
"Namun ini tidak bermakna saya setuju sekiranya terdapat unsur kecurangan, penipuan dan pengkhianatan dalam proses pemilihan.
"Pihak berkuasa telah pun memulakan siasatan cuma janganlah kita terlalu obses mencari kelemahan pemilihan hingga akhirnya menggugat kestabilan parti," katanya.
Dr Wan Azizah turut meminta semua pemimpin PKR yang memegang jawatan penting kerajaan, negeri atau GLC untuk membantu menghulur sumbangan tetap kepada ibu pejabat parti sebagaimana yang telah dipersetujui mereka.
#Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail #JPP #JPRP #Presiden PKR #PRN Sarawak #Sarawak
;