Ambiga tiada hak bantah Rang Undang-undang MKN - Kayveas

Bernama
Disember 5, 2015 08:53 MYT
Kayveas ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP di Wisma MyPPP pada Jumaat. - fotoBERNAMA
Bantahan oleh bekas pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga terhadap Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis adalah tidak relevan, kata Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas.
Beliau menyifatkan Ambiga sebagai seorang yang tidak mempunyai pendirian tetap dan tindakannya sentiasa berubah-ubah.
"Rang undang undang MKN ini adalah yang dibahaskan dan diluluskan di peringkat Parlimen...jadi tidak ada siapa yang berkuasa termasuk dia (Ambiga) untuk mengkritik rang undang-undang itu.
"Dulu dia berjuang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, tetapi sekarang pula berjuang perkara lain," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi MyPPP di sini, Jumaat.
Kayveas mengulas laporan mengenai tindakan Ambiga menyerahkan satu memorandum bantahan kepada wakil kerajaan sejurus sebelum Rang Undang-Undang MKN dibacakan di Dewan Rakyat kelmarin.
Memorandum melalui Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam) itu mendesak supaya rang undang-undang MKN ditarik balik serta-merta kerana didakwa peruntukannya bertentangan dengan prinsip demokrasi dan memberi kesan buruk kepada rakyat.
Undang-undang MKN dibahaskan di Dewan Rakyat pada Khamis dan diluluskan setelah 107 anggota dewan menyokong manakala 74 menolak.
Pelaksanaan undang-undang tersebut bertujuan memperkukuhkan lagi mekanisme serta sistem operasi dalam menangani ancaman terhadap keselamatan negara.
#Ambiga #Dewan Rakyat #kayveas #Majlis Keselamatan Negara #MKN #MyPPP #rang undang-undang MKN
;