Amaran terhadap perbuatan sabotaj dalam MIC
Bernama
April 24, 2018 05:14 MYT
April 24, 2018 05:14 MYT
Tindakan disiplin akan diambil sekiranya terbukti berlaku perbuatan sabotaj dikalangan calon MIC, kata presiden parti Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Dr Subramaniam berkata beliau berharap perkara seumpama itu tidak akan berlaku kerana selaku anggota komponen Barisan Nasional (BN) MIC harus mempunyai hubungan baik dengan parti lain dalam komponen itu.
"Isu sabotaj merupakan perkara biasa dalam parti, tetapi dalam MIC sekiranya berlaku kita akan mengambil tindakan disiplin," katanya kepada pemberita ketika majlis memperkenalkan calon MIC yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 di ibu pejabat parti itu di sini.
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan mengulas perebutan MIC dengan MyPPP bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands di Pahang dan kerusi Dewan Undangan Negeri Buntong di Perak.
Terdahulu, MIC Perak telah mengumumkan T. Thangarani sebagai calon bagi DUN Buntong dan ini menamatkan perebutan kerusi itu antara MIC dengan MyPPP.
Sebelum ini, presiden MyPPP Tan Sri M. Kavyeas berkata beliau mahu partinya bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands dan DUN Buntong.
Dalam soal ini, Dr Subramaniam berkata MIC tiada halangan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu memberikan kerusi berkenaan kepada MyPPP.
"Bagi saya tiada halangan memandangkan MyPPP juga anggota komponen BN, kerana yang lebih penting BN menang di kedua-dua kerusi tersebut," tambah beliau.
Kerusi DUN Buntong dipegang oleh A. Sivasubramaniam dari DAP semenjak 2008.
Pada PRU13, Sivasubramaniam menewaskan calon BN Datuk C. Sivarraajh dari MIC dengan majoriti 8,629 undi.
Sementara itu ketika ditemubual Benama. Thangarani berkata: "Saya yakin dapat merampas kerusi DUN Buntong dan melakukan sesuatu bagi penduduk di sana."
Thangarani, seorang guru bersara juga berkata MIC kini memberi fokus untuk membangunkan Buntong yang beliau dakwa tidak mengalami sebarang perubahan sejak 10 tahun dipegang oleh DAP.
--BERNAMA