Amaran pada ahli parti MIC: Jangan hadir mesyuarat atau jumpa Palanivel - Saravanan

Astro Awani
Julai 26, 2015 10:23 MYT
Saravanan berkata sehingga pemilihan pucuk pimpinan parti itu selesai September ini, semua ahli wajar mematuhi arahan berkenaan.
Jangan hadir mesyuarat, perjumpaan atau perhimpunan yang diaturkan dengan bekas Presiden MIC, Datuk G. Palanivel.
Itu antara amaran yang dikeluarkan Naib Presiden Datuk M. Saravanan berhubung kemelut dalaman parti itu.
Menurut Saravanan, ahli perlu akur dengan arahan itu demi mengelakkan kekeliruan sesama ahli parti dan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan politik parti terbesar kaum India itu.
Saravanan yang kini memangku jawatan Timbalan Presiden berkata, sehingga pemilihan pucuk pimpinan parti itu selesai September ini, semua ahli wajar mematuhi arahan berkenaan.
"Jika terdapat ahli yang ingkar, MIC boleh ambil tindakan disiplin termasuk menggantung atau melucutkan keahlian mereka,'' kata Saravanan ketika ditemui di majlis pelancaran Program Tanaman Cili Yayasan Gerakan Tindakan Alternatif Baru, Fasa Kedua di Kulai Jaya, Johor hari ini.
Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan, MIC tidak akan mengganggu kedudukan Palanivel sebagai menteri di Kabinet memandangkan pelantikannya adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.
"Bagaimanapun, kita tidak akan teragak-agak untuk meminta pucuk pimpinan Barisan Nasional menyatakan pendirian mengenai kedudukan beliau (Palanivel) sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar jika Ahli Parlimen Cameron Highlands itu terus memberikan kenyataan mengelirukan ahli parti dan rakyat,'' kata beliau ketika ditanya mengenai kedudukan Palanivel susulan krisis dalaman MIC.
Menurut Saravanan, Palanivel kini bukan lagi ahli MIC di bawah BN sebaliknya beliau adalah ahli bebas.
MIC, parti berusia 68 tahun berpecah dua berikutan perbezaan pendapat yang tercetus antara Palanivel dan Presiden Datuk Dr S. Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Disember tahun lepas yang meminta parti mengadakan pemilihan semula.
#CWC #M. Saravanan #MIC #Palanivel #politik #S. Subramaniam