Amaran buat anggota Pemuda UMNO, jangan hadiri 'Himpunan Selamatkan Malaysia' - Khairy
Khairunnisa Kasnoon
Mac 22, 2016 23:38 MYT
Mac 22, 2016 23:38 MYT
Semua anggota Pemuda UMNO diberi amaran agar tidak menyertai 'Himpunan Selamatkan Malaysia' pada 27 Mac ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin menegaskan, mana-mana anggota yang didapati terlibat atau menyertai perhimpunan itu akan dikenakan tindakan displin.
"Bagi anggota kami (Pemuda) mereka tidak bebas untuk lakukan apa mereka mahu.
"Mana-mana anggota yang sertai himpunan tersebut pada 27hb ini akan dikenakan tindakan displin," ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda di sini hari ini.
Pada masa sama, Khairy mengulangi pendirian Pemuda yang secara tegas menolak Deklarasi Rakyat yang disifatkan bertentangan dengan sistem politik negara.
"Sistem politik negara kita demokrasi berpalimen yang mana kerajaan ditentukan melalui pilihan raya lima tahun sekali.
Bukan melalui deklarasi, bukannya melalui pungutan suara, bukan melalui pungutan tanda tangan, bukannya melalui sidang akhbar. Bagi saya yang paling penting mandat yang diberi dalam pilihan raya dan mandat itu masih lagi memihak kepada BN kepada Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri," katanya lagi.
Khairy diminta mengulas mengenai perhimpunan anjuran bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang dijangka akan turut dihadiri semua pimpinan Pakatan Harapan, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin-pemimpin veteran yang menandatangani Deklarasi Rakyat tersebut.