Amanat Presiden selari dengan kehendak pimpinan, perwakilan Bersatu

Rahimah Abdullah
Disember 28, 2018 07:06 MYT
Armada dan Srikandi senada untuk melaksanakan amanat dan hasrat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu kedudukan parti diperkukuh. -Bernama
Armada dan Srikandi senada untuk melaksanakan amanat dan hasrat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu kedudukan parti diperkukuh.
Pada masa sama, kedua-dua sayap parti itu akan terus mendekati rakyat dan mengukuhkan kepimpinan di peringkat akar umbi.
Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Armada akan sentiasa memastikan parti itu memainkan peranan dalam mencorakkan masa depan parti.
"Terima kasih kepada Presiden parti kerana memberi ruang dan peluang kepada Armada. Armada unik bukan sahaja anak muda ada masa depan besar dalam merencana Bersatu, tetapi juga ia turut diberi pengiktirafan besar.
"Banyak calon anak muda diberi peluang. Ini kerana ia menunjukkan Armada jadi penggerak pertama citarasa," katanya selepas perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bagi Armada dan Srikandi di sini.
Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Harun berkata, sayap itu akan terus berusaha menarik sokongan rakyat untuk menganggotai Bersatu.
"Kita akan mendekati masyarakat dan terus menambah keahlian dan membina kepimpinan di pihak akar umbi. Sudah pasti kita sebagai parti Bersatu yang mempunyai tanggungjawab melaksanakan agenda parti dan pastinya saya saya menyokong penuh," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Bersatu Pahang, Mohd Hafeez Mohd Yunus lega apabila banyak perkara yang terbuku di hati selama ini diterjemahkan dalam amanat Presiden.
Pada masa sama, beliau yakin Pakatan Harapan (PH) akan merampas semula Pahang dari Barisan Nasional (BN).
"Semenjak menang PRU14 banyak perkara belum dinyatakan tetapi hari ini banyak terlerai, saya lega. Banyak perkara bermakna seperti memperkenalkan agenda bumiputera, sangat signifikan memandangkan Pahang pembangkang.
Jadi ia diharap ia akan perkasa rakyat Pahang dan memberi mandat Pahang seterusnya, sekiranya dilaksanakan dengan telus Pakatan Harapan akan rampas dan Pahang dari BN," ujarnya.
Sementara itu, Exco Armada Bersatu, Abdul Hannaan Khairy berkata agenda bumiputera baharu yang diumumkan Presiden Parti adalah bukti jelas Bersatu memperjuangkan nasib orang Melayu.
"Pada saya pemerkasaan agenda Melayu itu bahawa seluruh rakyat Malaysia bukan omongan kosong, dan menafikan bahawa Bersatu ini tidak memperjuangkan bangsa Melayu.
"Namun, Tan Sri Muhyiddin jelas dan tegas Bersatu akan memperjuangkan agenda bumiputera dan bukan sahaja melihat kepada kesamarataan tetapi juga melihat jurang ekonomi kepada kaum," ujar beliau.
#Bersatu #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Syed Saddiq
;