Amanah umum 13 calon tanding di Kedah

Bernama
April 12, 2018 05:23 MYT
Mohamad Sabu berkata, calon-calon itu akan bertanding di 13 kerusi merangkumi tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN. - Gambar fail
Parti Amanah Negara (Amanah) pada Khamis mengumumkan 13 orang calon dari parti itu yang akan bertanding di Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, calon-calon itu akan bertanding di 13 kerusi merangkumi tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menepati ramalan, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, yang merupakan penyandang Anggota Parlimen Pokok Sena diumum bertanding di kerusi parlimen itu pada PRU14 ini.
Katanya bagi dua lagi kerusi parlimen, Amanah mencalonkan Naib Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd Khairizal Khazali bertanding di parlimen Padang Terap dan Anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Sik, Azli Uda bertanding di parlimen Sik.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis ceramah perdana di Hutan Kampung dekat sini, malam tadi.
Sementara itu bagi kerusi DUN, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang sebelum ini merupakan penyandang ADUN Pengkalan Kundor, diumum bertanding di Alor Mengkudu.
Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh pula akan bertanding di Pengkalan Kundor.
"DUN Kota Siputeh akan ditandingi Naib Pengerusi Amanah Kedah, Dr Salmee Said, Ketua Pemuda Amanah Mohd Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan), bekas Anggota Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar (Tokai), bekas Setiausaha Kerja UMNO Kedah Zahran Abdullah (Sungai Limau)," katanya.
Di Belantek, Amanah mengumumkan Abdul Rashid Abdullah sebagai calon di kawasan itu, Naib Pengerusi III Amanah Kedah, Johari Abdullah (Kupang), Ketua Amanah Kawasan Padang Serai Abd Razak Salleh (Merbau Pulas) dan Ketua Amanah Kawasan Sungai Petani Rosli Yusof bertanding di Pantai Merdeka.
-- BERNAMA
#calon #Dewan Undangan Negeri #DUN #Kedah #Mahfuz Omar #Mohamad Sabu #Parlimen #Parti Amanah Negara #Phahrolrazi Mohd Zawawi #pilihan raya umum #pokok sena #PRU14
;