Amanah tidak perlu tunduk kepada realiti politik - Mujahid Yusof Rawa

Media Statement
Jun 19, 2016 17:17 MYT
Dr Mujahid berkata kekalahan tersebut tidak membuktikan bahawa politik baharu tidak berkesan. - Foto fail
Kekalahan parti Amanah kepada Barisan Nasional (BN) di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak membawa maksud mereka harus melupakan perjuangan parti.
Menurut Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Amanah akan terus mewakili Pakatan Harapan membuka jalan kepada beberapa keperluan mendesak bagi meneruskan agenda politik baharu.
“Walau apapun yang dikatakan terhadap kekalahan parti Amanah, ini tidak bermakna Amanah perlu tunduk kepada realiti politik yang ada. Amanah perlu terus membina agenda politik baharu dan mendesak kemunculannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam kenyataan itu lagi, Dr Mujahid berkata kekalahan tersebut tidak membuktikan bahawa politik baharu tidak berkesan.
BN pada Sabtu berjaya mengekalkan kerusi di kedua-dua Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Berikut adalah kenyatan penuh daripada Mujahid:
AGENDA POLITIK BAHARU PERLU DITERUSKAN
Kekalahan Amanah mewakili PH membuka jalan kepada beberapa keperluan mendesak untuk meneruskan agenda politik baharu.Adalah salah untuk kita membuat rumusan bahawa kemenangan BN dan kekalahan PH membuktikan 'cara lama' berkesan dan untuk itu kita tidak memerlukan pendekatan baharu untuk menang. Dalam membuat analisis kekalahan atau kemenangan ada beberapa fakta yang kita tidak boleh berkrompomi bagi mengekalkan momentum politik baru.
2. Politik Malaysia perlu kepada perubahan keluar dari mentaliti perkauman sempit, pemikiran agama dogmatik dan taksub kepartian kepada politik advokasi dasar dan politik partisipasi pembentukan negara. Dengan kata lain parti-parti politik perlu berpindah kepada kaedah 3A (Address issues, Advocate policies and Apply commitment). Iaitu Menangani isu rakyat, menengahkan dasar dan melaksanakan janji. Dengan kaedah ini pengundi akan ada banyak alternatif untuk mereka membuat pilihan yang terbaik.
3. Membenteras kaedah 3M (Money, Machinery dan Media) oleh parti-parti politik kepada pengundi. Ini adalah kerana pengundi akan overdose dengan 3M sehingga mereka tidak dapat membuat pilihan yang baik dan melarikan pengundi daripada isu sebenar yang terkesan dalam kehidupan mereka. Untung sekejap tetapi rugi berpanjangan hanya kerana duit, jentera yang disalahgunakan dan media yang 'menutup' isu sebenarnya.
4. Kesenjangan mentaliti pengundi berbagai kaum perlu dikurangkan bagi mengelakkan ketidakseimbangan corak pengundian. Masyarakat Cina mengundi atas ketidaksetujuan mereka kepada kebejatan tatakelola kewangan negara manakala pengundi Melayu mengundi atas 'kebimbangan' kuasa Melayu akan 'terhakis' jika undi pembangkang walaupun mereka tahu salahtadbir kewangan yang berlaku. Sampai bila pemikiran pengundi ini hendak dibiarkan membuat penentuan politik, sehingga akhirnya pola perkauman akan terus membawa politik negara kepada keberantakkan dan permusuhan kaum berpanjangan.
5. Politik kesepakatan antara parti-parti politik pembangkang perlu diperkukuhkan supaya sistem 2 parti dapat diteruskan. Penjenamaan Pakatan Pembangkang sebagai alternatif kepada Pakatan Kerajaan perlu diperkukuhkan. Mana-mana pembangkang yang bersendirian menjejaskan keperluan 2 parti sistem ini.
6. Walau apapun yang dikatakan terhadap kekalahan parti Amanah, ini tidak bermakna Amanah perlu tunduk kepada realiti politik yang ada. Amanah perlu terus membina agenda politik baharu dan mendesak kemunculannya.
7. Tugasan ini tidaklah sukar kerana undi yang Amanah dapat membuktikan bahawa Amanah ada harapan yang cerah meredah ujian untuk menjadi juara politik baharu. Slogan Progresif dan Peduli harus terus disampaikan tanpa Amanah perlu menjadi lebih 'Islamik' dari PAS atau lebih 'Melayu' dari UMNO. Parti Amanah hanya perlu bersikap Inklusif dengan merangkul konsep Rahmat Untuk Semua.
8. Selain dari itu, soal taktikal dan teknikal akan melengkapkan kejelasan pemikiran Amanah untuk menang dan melakukan perubahan dalam senario politik negara. Amanah juga terbukti punya rakan yang berkongsi Harapan Baru ini dari semua pihak, Amanah perlu melebarkannya lagi dengan gigih dan memperkukuhkan lagi setiakawan dengan DAP dan PKR.
#Amanah #Dr Mujahid Yusof Rawa #Kuala Kangsar #PRK #Sungai Besar
;