Amanah tawaduk terima keputusan PRK Sungai Bakap - Mohamad

Bernama
Julai 9, 2024 14:30 MYT
MOHAMAD: Amanah menghormati keputusan PRK Sungai Bakap dengan penuh tawaduk bahawa usaha berterusan akan digerakkan Amanah bagi mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan Perpaduan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dengan penuh tawaduk dan akan berusaha mengukuhkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.
Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kesepaduan jentera antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga perlu diperkukuh bagi menghadapi pilihan raya yang mendatang terutamanya Pilihan Raya Umum ke-16.
"Amanah menghormati keputusan PRK Sungai Bakap dengan penuh tawaduk bahawa usaha berterusan akan digerakkan Amanah bagi mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan Perpaduan.
"Amanah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas parti di semua peringkat yang telah memberikan komitmen yang cukup jitu sepanjang tempoh berkempen," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Pada Ahad lepas, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi menewaskan calon PH Dr Joohari Ariffin.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya sebelum ini Nor Zamri Latiff, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
-- BERNAMA
#PRK Sungai Bakap #pilihan raya kecil #Amanah #Mohamad Sabu
;