Amanah putus tidak bertanding PRK Tanjung Datu

Astro Awani
Februari 2, 2017 18:22 MYT
Parti Amanah mahu menumpukan sepenuh usaha ke arah persiapan dan perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi. - Gambar fail
Parti Amanah Negara (Amanah) mengambil keputusan untuk tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.03 Tanjung Datu, Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Februari 2017 ini.
Amanah dalam satu kenyataan hari ini berkata, parti itu ingin menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
“Amanah berpendapat, dalam suasana politik semasa hari ini, adalah penting untuk kami menumpukan sepenuh usaha ke arah persiapan dan perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu.
Kerusi DUN Tanjung Datu kosong berikutan pemergian bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem atau lebih mesra dikenali Tok Nan akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak pada 11 Januari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 4 Februari, pengundian awal pada 12 Februari manakala hari pembuangan undi pada 18 Februari.
Semalam Barisan Nasional negeri mengumumkan balu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu dipilih sebagai calon BN bagi PRK Tanjung Datu.
#Parti Amanah #Parti Amanah Negara #PRK Tanjung Datu #PRU14 #Tanjong Datu
;