Amanah: Pas parti terancam
Sinar Harian
Mac 2, 2018 08:36 MYT
Mac 2, 2018 08:36 MYT
Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim berpandangan, Pas merasakan parti itu dalam keadaan terancam susulan berterusan membuat serangan ke atas Amanah.
Izham berkata, Pas mula hilang keyakinan dalam kalangan ahlinya yang menganggap parti sebagai tidak relevan dan hilang arah.
Menurutnya, perkara itu dilihat semakin ketara sejak Pas mengambil keputusan meninggalkan pakatan pembangkang dan bergerak sendiri.
"Amanah tidak bermasalah dengan Pas sebaliknya dengan hati terbuka telah mengajak parti Islam tersebut untuk bersama dengan Pakatan Harapan (Harapan) menyelamatkan negara.
"Namun, di pihak sana telah meletak batu pemisah dan berterusan membuat serangan dengan melabel kita dengan pelbagai gelaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mengenai pendirian Pas untuk tidak akan mengadakan hubungan baik dengan Amanah yang mendakwa matlamat utama penubuhan parti tersebut sebagai memusnahkan parti Islam itu.
Tegas Izham, Pas semakin hilang fokus dan setiap pandangan yang dikeluarkan oleh pimpinannya bercelaru dan tidak senada.
"Pas tidak lagi releven sebagai parti politik dan tidak ada arah. Amanah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mahu memusuhi Pas apa lagi memusnahkan parti Islam tersebut.
"Dalam politik kita mempunyai perbezaan pandangan namun tidak ada langsungkah titik persamaan antara Pas dengan parti pembangkang iaitu menjatuhkan kerajaan BN yang gagal mentadbir negara dengan baik," katanya.
Katanya, keputusan bertanding di Kelantan adalah atas persetujuan bersama Harapan yang turut disertai parti komponen lain termasuk PKR dan Bersatu.
"Kita ikut suara pucuk pimpinan, dan bukan di Kelantan saja kita bertanding tapi di seluruh negara, jadi tak timbul isu Amanah bersungguh-sungguh menjatuhkan kerajaan Pas di Kelantan.
"Ini soal demokrasi dan semua berhak untuk bertanding apa yang penting amanah rakyat itu dijalankan dengan betul. Amanah boleh memperjuangkan Islam kerana inspirasi kami juga adalah melalui pimpinan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz dan Datuk Fadzil Noor" katanya.
Katanya, Pas tidak boleh terlalu emosional dalam mengeluarkan kenyataan sebaliknya perlu menghormati perbezaan pandangan seiring dengan moto politik matang dan sejahtera yang dibawa mereka.
#Amanah
#hubungan baik
#izham hashim
#keyakinan
#Pakatan Harapan
#PAS
#pembangkang
#relevan
#Roslan Shahir Mohd Shahir
#serangan