Amanah kemuka usul gesa Speaker Dewan Rakyat letak jawatan

Astro Awani
Ogos 13, 2021 20:51 MYT
Mohamad menjelaskan usul tersebut dibuat atas alasan tindakan Azhar sepanjang sidang khas lalu adalah bercanggah dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menghantar usul bagi meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengosongkan jawatannya.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata usul itu dikemukakan berdasarkan kepada tindakan Azhar semasa mengendalikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat antara 26 hingga 29 Julai lalu.
"Kami telah menghantar usul pada hari ini di bawah Peraturan Mesyuarat 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan @ Harun mengosongkan jawatannya," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad menjelaskan usul tersebut dibuat atas alasan tindakan Azhar sepanjang sidang khas lalu adalah bercanggah dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan.
"Tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tersebut juga membelakangkan dan menafikan fungsi Raja Berperlembagaan dalam konteks prinsip asas sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan," katanya lagi.
Tambah Mohamad, Amanah juga mencadangkan pencalonan Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Azhar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Dewan Rakyat menggantikan Mohamad Arif selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran negara.
#Parti Amanah Negara #Amanah #Mohamad Sabu #usul #Yang Di-Pertua Dewan Rakyat #Azhar Azizan Harun #Speaker #Mat Sabu
;