Amanah Johor boikot konvensyen PH, pimpinan tagih kerusi DUN
Firdaus Azil
Januari 7, 2018 13:26 MYT
Januari 7, 2018 13:26 MYT
Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) akan cuba mendapatkan lebih banyak kerusi Dewan Undangen Negeri (DUN) Johor untuk diberikan kepada pimpinan parti negeri selepas kegagalan mereka mendapatkan bilangan kerusi parlimen yang diingini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Amanah Johor membuat keputusan untuk memboikot Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Idea (IDCC)l, berikutan ketidakpuashatian mengenai pengagihan kerusi di kalangan Pakatan Harapan Johor.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, memang risiko perkara seperti rasa tidak puas hati akan timbul, namun tegasnya, masih ada ruang perbincangan.
“Sebagai pemimpin nasional, kami melihat dari perspektif yang lebih luas demi kepentingan Pakatan Harapan. Di Johor memang jumlah kerusi (parlimen) untuk kami agak kecil, dan sebab itu kami bersedia untuk bekerja lebih keras bagi kerusi-kerusi DUN,” katanya kepada pemberita di IDCC, hari ini.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, mereka hanya mendapat dua daripada lima kerusi parlimen yang diminta, iaitu Parit Sulong dan Pulai.
"Jadi kami rasa tak perlu datang. Semua pemimpin Amanah Johor tak datang,” katanya dalam laporan itu.
Mengulas pendirian Amanah Johor itu, Salahuddin berkata, beliau secara peribadi menghormati dan menghargai pandangan dan tindakan mereka, namun beliau bertegas semua pihak harus memikirkan perkara yang lebih besar dan menuju ke hadapan.
“Saya tidak rasa ia melanggar konsensus Pakatan Harapan...dan perkara sebegini memang biasa terjadi,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, beliau akan berjumpa dengan pengerusi parti iaitu Mohamad Sabu sewaktu perjumpaan Amanah peringkat Wilayah Persekutuan bagi berbincang mengenai isu di Johor.
Di samping itu, kata Anuar, pihaknya juga akan turun ke Johor untuk berjumpa dengan pimpinan parti negeri untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut.
#Amanah Johor
#kerusi Dewan Undangan Negeri
#kerusi Parlimen
#Mohamad Sabu
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#pilihan raya umum
#Salahuddin Ayub