Amanah ikut langkah PKR, tolak kerjasama dengan PN - Mat Sabu

Hilmi Malik
Ogos 30, 2022 18:48 MYT
Mohamad Sabu mendakwa kegagalan kerajaan hari ini disebabkan kerjasama PN dan BN. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Parti komponen Pakatan Harapan (PH), Amanah menjadi parti seterusnya yang menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Presidennya, Mohamad Sabu, ini kerana PN merupakan sebahagian daripada kerajaan.
“Tidak ada sebarang kerjasama PH dengan PN kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.
“Mungkin Pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) tidak perasan dia berada di dalam kerajaan walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Kegagalan kerajaan hari ini adalah kegagalan bersama PN dan BN,” katanya yang berbentuk sindiran apabila merujuk kepada Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.
Mohamad Sabu menerusi ciapannya di Twitter berkata, perkara itu susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan yang enggan menjalinkan sebarang kerjasama dengan PH dalam PRU15.
BACA: Pas tidak akan bekerjasama dengan PH hadapi PRU15 - Takiyuddin
Ini termasuk dengan usaha untuk mewujudkan "khemah besar".
Ujarnya, pendirian itu juga jelas bercanggah dengan pendirian Muhyiddin baru-baru ini yang membayangkan hasrat untuk bekerjasama dengan pembangkang.
Baru-baru ini, Pengerusi PN itu membuat gesaan agar seluruh kepimpinan parti pembangkang termasuk PH mempertimbang untuk berunding bersama PN bagi persiapan menghadapi PRU15.
Langkah itu, katanya sebagai usaha untuk memastikan BN tidak kembali menguasai pentadbiran kerajaan yang boleh menyaksikan amalan rasuah serta salah guna kuasa kembali berulang.
BACA: PRU15: Tiada kerjasama dengan PN, noktah - Rafizi
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli juga menegaskan untuk menolak sebarang bentuk bekerjasama dengan PN.
#PRU15 #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #pilihan raya umum #Khemah Besar
;