Amanah, DAP tolak sebarang perjanjian selain parti Pakatan Harapan Plus
Bernama
Jun 29, 2020 12:26 MYT
Jun 29, 2020 12:26 MYT
Amanah dan DAP menegaskan akan menolak sebarang cubaan untuk membuat perjanjian dengan mana-mana pihak selain daripada parti asal Pakatan Harapan Plus.
Menerusi kenyataan bersama, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahudin Ayub dan Naib Pengerusi DAP M. Kula Segaran berkata mereka akan kekal bergabung dengan gabungan parti sama yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Parti berkenaan adalah Amanah, DAP, PKR, Warisan dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam parti Bersatu, menurut kenyataan itu.
"Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu)," menurut mereka.
Sebelum ini timbul desas-desus mengenai pertemuan antara Hamzah dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim namun Hamzah berkata ia adalah pertemuan peribadi individu yang sudah tidak berjumpa selama beberapa tahun dan perkara yang dibincangkan adalah perkara peribadi dan tidak perlu dihebahkan kepada umum.
-- BERNAMA
#Amanah
#Anwar Ibrahim
#DAP
#Hamzah Zainuddin
#M Kula Segaran
#Mahathir Mohamad
#PKR
#PRU14
#Salahudin Ayub