Amanah bagi tempoh sehingga pertengahan Februari untuk muktamad kerjasama
Astro Awani
Januari 27, 2017 09:38 MYT
Januari 27, 2017 09:38 MYT
Parti Amanah Negara (Amanah) memberi tempoh sehingga pertengahan Februari untuk Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan parti lain yang masih enggan menyertai gabungan pembangkang.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata masa telah tamat dan gabungan pembangkang tidak boleh berlengah untuk merangka strategi besar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam apa kemungkinan sekalipun.
"Amanah berpandangan bahawa kita (PH dan PPBM) telah cukup terbuka dan telah menunaikan tanggungjawab besar bagi menyatukan parti-parti pembangkang.
"Masa telah tamat dan kita tidak boleh berlengah untuk merangka strategi besar menghadapi BN dalam apa kemungkinan sekalipun.
"Pertengahan Februari adalah garis penamat untuk PH dan PPBM membuat keputusan muktamad," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Salahuddin juga menegaskan Amanah yakin dan percaya rakyat boleh menilai parti manakah yang sentiasa menolak untuk mengadakan rundingan untuk mengukuhkan gabungan pembangkang.
Ujar beliau, rakyat juga boleh menilai parti mana dalam gabungan pembangkang yang konsisten berpadu dan bermuafakat untuk menentang BN.
"Amanah sendiri sejak hari pertama penubuhanya telah mengambil sikap untuk membuka pintu rundingan dan perbincangan dengan semua pihak demi kepentingan negara dan rakyat yang mahu melihat satu bentuk permuafakatan parti-parti pembangkang bagi menamatkan penguasaan BN.
"Kita menyaksikan betapa terbukanya pimpinan PKR menghulurkan salam permuafakatan dan yang terkini pimpinan utama DAP pula bersedia menerima Pas dalam gabungan pembangkang demi menyelamatkan negara yang dilanda krisis terbesar akibat salah guna kuasa Najib dan BN," ujar beliau lagi.
Pendirian Amanah ini dibuat sehari selepas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan PKR masih meneruskan perbincangan dan rundingan dengan Pas.
Azmin dalam satu kenyataan media pada Khamis menegaskan PKR yakin kebijaksanaan dan pengalaman luas kepimpinan Pas.