Amanah akui sukar tembusi gabungan BN-Pas

Irwan Muhammad Zain, Hasimi Muhamad
Disember 8, 2019 15:07 MYT
Mohamad Sabu berkata walau bagaimanapun pihaknya tidak gentar untuk merobohkan pengaruh yang dimiliki gabungan parti itu khususnya di Pantai Timur. - Foto Astro AWANI
Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui berdepan kesukaran untuk “menembusi” kubu yang dibina oleh parti Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Menurut Presidennya, walau bagaimanapun pihaknya tidak gentar untuk merobohkan pengaruh yang dimiliki gabungan parti itu khususnya di Pantai Timur.
Jelasnya, konsep Rahmatul Lil Alamin yang didokong oleh Amanah mampu menarik minat ahli parti tersebut.
“Sukar untuk tembusi pengaruh mereka dan bukan semua (ahli BN dan Pas) boleh menerima kerjasama tersebut.
“Jadi, di tengah pening lalat ini, kita harus menerangkan konsep Rahmatul Lil Alamin.
“Saya tahu negeri yang berpotensi antaranya Kelantan kerana setiap bulan ia mencatatkan pertambahan ahli,” katanya, di sini.
Mohamad berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Ahad.
Katanya, salah satu cabaran yang dihadapi untuk mengambil alih negeri seperti Terengganu kerana mereka mempunyai barisan kepimpinan yang hebat, selain kerajaan Negeri mempunyai peruntukan yang cukup.
“Kenapa ada banyak duit? Salah satunya kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan janji manifesto.
“Kita janji bayar royalti, kita bayar walaupun negeri itu milik pembangkang.
“Orang kata kenapa tak sekat (royalti), biar mereka tunduk. Kita janji, maka kita tunai,” katanya.
Justeru, Mohamad berkata Amanah komited mahu melebarkan sayap dan menubuhkan lebih banyak cawangan di negeri-negeri berkenaan.
Konvensyen Nasional 2019 melabuhkan tirai dengan konvensyen ditangguh pada tahun hadapan.
#Amanah #Barisan Nasional #BN dan Pas #Kelantan #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #PAS #Rahmatul Lil Alamin #terengganu
;