Amanah akan kemuka tiga RUU persendirian ke Parlimen

Bernama
Oktober 22, 2017 19:45 MYT
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata RUU berkenaan adalah RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, RUU Kesaksamaan dan RUU Suruhanjaya Keharmonian Nasional.
Parti Amanah Negara (Amanah) akan membawa usul persendirian bagi membolehkan tiga rang undang-undang (RUU) dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat nanti.
Naib Presiden Amanah merangkap Anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata RUU berkenaan adalah RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, RUU Kesaksamaan dan RUU Suruhanjaya Keharmonian Nasional.
"Saya mengharapkan sebagaimana layanan diberikan kepada RUU 355 (dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) suatu pindaan RUU persendirian dibuat, macam itu juga RUU persendirian yang saya bawa ini," katanya ketika ditemui selepas penangguhan dan penggulungan Presiden Amanah sempena Konvensyen Nasional 2017 parti itu di sini hari ini.
Beliau telah mengemukakan usul RUU persendirian itu pada awal Oktober lepas, sepertimana mengikut peraturan dewan iaitu 14 hari sebelum dewan mula bersidang esok.
Beliau berkata tiga RUU persendirian itu penting dalam usaha mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini sekali gus dapat mengatasi masalah cetusan sensitiviti kaum dan agama dengan lebih proaktif agar tidak terus berleluasa.
Konvensyen itu bermula 20 Okt lepas dan berakhir hari ini.
-- BERNAMA
#Amanah #Dewan Rakyat #Jenayah Kebencian Kaum #Parti Amanah Negara #Rang Undang-Undang #RUU #RUU Kesaksamaan #Suruhanjaya Keharmonian Nasional
;