Alamat tidak dikemas kini mungkin punca 'pengundi hilang' - Wan Junaidi

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 13, 2022 15:10 MYT
Jelas Wan Junaidi salah satu faktor 'kehilangan pengundi' adalah alamat yang tidak dikemas kini yang mengakibatkan mereka sukar untuk ke lokasi mengundi yang ditetapkan SPR. - Astro AWANI
KUCHING: Rakyat Malaysia khasnya golongan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun digesa untuk membuat kemas kini alamat tetap masing-masing menjelang pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menolak kemungkinan salah satu faktor kehilangan pengundi di sesebuah kawasan akibat daripada alamat pengundi yang tidak dikemas kini.
Jelasnya mungkin ada pengundi yang tidak mampu atau sukar untuk menunaikan tanggungjawab mereka kerana lokasi pusat mengundi yang agak jauh dari tempat mereka menetap secara kekal.
“Contohnya alamat saya di Middle Road Kuching dan kebanyakan masa saya di Kuala Lumpur, maka kalau mengundi saya terpaksa balik ke Kuching.
"Tetapi kalau mereka tidak mampu pergi ke satu-satu tempat untuk mengundi, ini yang menyebabkan kita kehilangan warga pengundi kita, ini mungkin masalahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Bako di sini pada Ahad.
Dalam pada itu Wan Junaidi berkata, ketika ini pihaknya belum mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh golongan muda semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung semalam.
Daripada pilihan raya berkenaan, pemerhatian awal untuk golongan muda yang pertama kali turun mengundi itu katanya dapat dilihat daripada penggunaan alamat yang tidak memudahkan pergerakan mereka untuk mengundi.
“Kalau kita berpindah ke satu kampung ke satu kampung tolong pindahkan juga alamat kad pengenalan anda dan laporkan perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar alamat ini dapat ditukar dan akan dikemaskini secara automatik kepada SPR.
“Kemudian pihak SPR akan mendaftarkan alamat baharu ini supaya mudah kita untuk mengundi pada masa akan datang, gunakan alamat di mana kota diam bukan alamat di mana nenek dan datuk kita dahulu menetap,” katanya.
PRN Johor adalah pilihan raya yang pertama menerima kehadiran pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun selepas ianya digazetkan pada 15 Disember 2021 dan kemudian disahkan oleh SPR pada 16 Januari tahun ini sekaligus secara automatik melayakkan golongan berkenaan untuk mengundi.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #pilihan raya #pengundi muda
;