'Aku pejuang dan kau pengkhianat?' - Azmin Ali

Fareez Azman
Disember 8, 2019 20:53 MYT
Azmin menjelaskan beliau sedia dikritik namun perjuangan parti menjadi keutamaan. - Foto Astro AWANI/Fareez Azman
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkkan semua pemimpin dan ahli parti itu agar tidak memadamkan sejarah penubuhan parti itu sejak 1999.
Jelasnya, beliau sebagai salah seorang pemimpin pernah dipenjarakan semata-mata hendak mempertahankan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika difitnah.
"Jangan padam sejarah, saya masuk penjara 16 September ditelanjang, dibogelkan, ditanggal, dipijak, dihina kerana perjuangan keadilan yang kita terima hari ini.
"Sebab itu saya amat kesal ada dua tiga kerat, nama pun bukan macam nama orang Malaysia. Akulah reformasi, akulah perjuangan, kamu pengkhianat. Kepala b***k kamu!" katanya dalam ucapan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di ibu negara pada Ahad.
BACA: 'Kamu belum kenal Azmin Ali!'
Dalam ucapannya itu, Mohamed Azmin menjelaskan beliau sedia dikritik namun perjuangan parti menjadi keutamaan.
Mohamed Azmin yang ternyata panas dengan ucapannya turut menyifatkan pembahas dalam Kongres Nasional Tahunan PKR 2019 sebagai tidak berkualiti berbanding Kongres Amanah 2019 yang dilihat lebih mencerminkan isu rakyat.
"Bila dibuka perbahasan, perbahasannya mencerakinkan isu rakyat dia peduli rakyat, itu pebahas parti Amanah Negara. Pembahasa kononnya reformis, pengkhianat, keluar, aib, pecat kartel.
"Saya tidak mahu memimpin sebuah parti penyokongnya tidak ada kualiti, saya mahu menjadi Timbalan Presiden kepada sebuah parti di mana anggotanya ada akhlak, pemimpin pun ada akhlak. Jangan cakap tidak serupa bikin," tegas Mohamed Azmin dalam ucapannya.
Majlis Makan Malam 2019 itu turut dihadiri Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Naib Presiden Tian Chua dan Naib Presiden Ali Biju.
Turut hadir Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR R Sivarasa, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ketua Wanita Keadilan Malaysia Haniza Talha.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #kartel #Kongres Nasional Tahunan PKR 2019 #Kongres PKR 2019 #Mohamed Azmin Ali #padam sejarah #PKR #Presiden PKR #Timbalan Presiden PKR #Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
;