Akta Parlimen Berpenggal tidak mudah untuk dilaksanakan - Wan Junaidi

Hasimi Muhamad
Januari 19, 2024 16:25 MYT
Wan Junaidi berkata,satu mekanisme yang jelas perlu ditentukan sebelum Akta Parlimen Berpenggal dilaksanakan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan Akta Parlimen Berpenggal tidak mudah untuk dilaksanakan walaupun ia dilihat sebagai salah satu langkah yang boleh mengembalikan kestabilan politik di negara ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan tersebut juga adalah salah satu yang pernah digariskan ketika beliau menggalas jawatan Menteri Kabinet pada 2021 dan 2022.
BACA: Akta Parlimen Berpenggal tidak demokratik - Khairy
Jelas beliau, Akta Parlimen Berpenggal hanya menjejaskan sedikit kedudukan Perdana Menteri seperti budi bicara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mencadangkan pembubaran Parlimen.
"Tetapi Akta Parlimen Berpenggal mengikut model yang ada kepada kita contohnya di United Kingdom (UK), bukan lah semudah itu.
"Ini juga memerlukan pindaan Perlembagaan kerana kalau kita nak adakan Akta Parlimen Berpenggal ini, ada yang mengatakan tak perlu pinda Perlembagaan, buat akta undang-undang sahaja.
"Kalau ia (hanya sekadar) akta undang-undang, berkemungkinan ia (Akta Parlimen Berpenggal) akan bercanggah dengan Perlembagaan. Kalau bercanggah dengan Perlembagaan, dengan sendirinya ia boleh dibawa ke mahkamah dan dikatakan tidak berkesan atau tidak selaras dengan Perlembagaan," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Tokoh bertajuk Akta Anti Lompat Parti dan Kestabilan Politik yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Majlis Profesor Negara (MPN).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu menambah, satu mekanisme yang jelas perlu ditentukan sebelum Akta Parlimen Berpenggal dilaksanakan.
"Kalau kita ada sokongan dua pertiga majoriti untuk Dewan Rakyat dan Dewan Negara dibubarkan, dengan sendirinya Dewan boleh terbubar.
"Kalau itu mekanisme yang kita laksanakan, orang yang nak mengadakan pilihan raya lebih pendek daripada lima tahun sekali perlu usulkan kepada Dewan dulu.
"KIta boleh wujudkan usul sedemikian untuk dia bawa usul itu tetapi berjaya atau tidak sokongan 148 (Ahli Parlimen), kita belum tentu. Kalau tidak berjaya dengan sendiri, ia tidak boleh mengadakan pilihan raya atau menggantikan Perdana Menteri," ujar beliau.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyarankan satu rang undang-undang (RUU) berkaitan ‘fixed term parliament’ diwujudkan supaya pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan.
#Dewan Negara #Akta Parlimen Berpenggal #Zahid Hamidi #PRU15 #Wan Junaidi Tuanku Jaafar
;