Akta Antilompat Parti: Kerajaan negeri harus ada akta sama, ikut acuan sendiri - Wilfred Madius Tangau
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 9, 2022 17:07 MYT
Mei 9, 2022 17:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri boleh melaksanakan Akta Antilompat Parti sekiranya diberi kuasa oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Undang-Undang Antilompat Parti, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, setiap negeri harus mempunyai akta tersebut sebagaimana yang akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.
"Setiap negeri harus ada undang-undang Akta Antilompat Parti seperti apa yang akan dibuat di peringkat Persekutuan.
"Namun, kerajaan negeri perlu diberi kuasa untuk menentukan rupa bentuk undang-undang antilompat parti yang akan dibuat di peringkat negeri,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum ‘State-level anti-hopping law — imposed or enabled?’ pada Isnin.
Menurutnya, Sabah pernah mencadangkan pelaksanaannya pada tahun 1992, namun ditentang Kerajaan Persekutuan yang ketika itu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.
Jelasnya, dengan pelaksanaan akta tersebut, ia akan memberi kesan positif kepada dinamika politik negara yang lebih baik.
Malah, jelasnya, undang-undang yang bakal dilaksanakan menerusi akta terbabit juga mampu menjamin kestabilan kerajaan dan pemimpin yang menjalankan urusan pentadbiran negara dan dasar-dasar yang akan digubal.
“Dengan erti kata lain, suasana politik akan berubah kepada yang lebih profesional dan baik.
"Dan itu saya kira adalah asas dan tujuan sebenar mengapa kita semua mahukan akta itu dilaksanakan,” katanya lagi.
Bulan lalu, perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dijangka dibentang di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat, Julai ini.